KUALA PILAH – Seorang lelaki berusia 32 tahun terselamat selepas kereta miliknya tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian di Jalan Selaru, Kuala Pilah menghala ke Tampin, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.10 petang itu, kereta yang dipandu mangsa, Chie Wee Kang, 32, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tampin selepas mengunjungi sebuah tokong berhampiran lokasi kejadian.
Mangsa yang memandu seorang diri kereta jenis Lexus itu berjaya menyelamatkan diri selepas melihat asap yang keluar dari penghawa dingin kereta.
“Ketika memandu, aircond kereta saya mengalami on-off dan panas. Jadi, saya berasa tak sedap hati dan memberhentikan kereta di tepi jalan. Saya cuba matikan enjin dan hidupkan semula.
“Tidak lama selepas itu keluar asap dari lubang aircond. Saya cepat-cepat keluar dari kereta dan berlari menyelamatkan diri. Sebaik keluar, saya lihat api dari bonet hadapan membakar kereta dengan marak dan ia berlaku dengan cepat,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, dia bersyukur kerana sempat keluar kereta yang baru dibeli empat tahun lalu sebelum hangus dijilat api.
“Saya baru pergi sembahyang di tokong. Tidak sangka tuhan selamatkan saya. Kalau saya tidak sempat keluar tak tahu apa yang akan jadi sama saya,”katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Zamhuri Zainnordin, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.17 petang
Menurutnya, sebuah jentera dan van EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian pada jam 2.25 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Lexus yang telah musnah kira-kira 90 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 15 minit dan operasi tamat pada jam 2.58 petang,”katanya.
Operasi pemadaman melibatkan seramai enam anggota termasuk seorang pegawai kanan, manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.