PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
Selain hukuman penjara bermula tarikh sabitan, Ismanira, 30, juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM3,000.
Dia juga perlu melengkapkan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan.
Kedua-dua hukuman tambahan itu perlu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman pemenjaraan.
Semasa prosiding, pasukan pembelaan memohon untuk menangguhkan hukuman penjara manakala pendakwaan membantah permohonan terbabit.
“Setelah meneliti hujahan-hujahan yang disampaikan, saya mendapati tertuduh gagal untuk menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.
“Tiada alasan yang meyakinkan mahkamah, maka tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta,” katanya.
Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pada 21 Julai, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.
Hakim, Dr Syahliza memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama terbabit.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Pembelaan bagi Ismanira peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.