BEKAS pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel percaya Arsenal mampu menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara musim ini apabila menyifatkan Mikel Arteta kini memiliki skuad terbaik di Eropah.
Ketika ini, Arsenal berada empat mata di hadapan di puncak carta EPL dan sudah pun memiliki kelebihan tujuh mata berbanding juara bertahan, Liverpool.
Skuad kendalian Arteta itu turut mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam kempen Liga Juara-Juara apabila menewaskan Athletic Bilbao, Olympiacos dan Atletico Madrid tanpa bolos sebarang gol.
Obi Mikel yang pernah memenangi dua gelaran liga bersama Chelsea berpendapat Arsenal merupakan calon utama untuk menjuarai Liga Perdana musim ini dan mengakui pilihan pemain yang dimiliki Arteta amat 'menakutkan'.
“Musim ini saya rasa kejuaraan itu milik Arsenal. Dengan skuad dan kedalaman pasukan yang mereka miliki, ia sesuatu yang menakutkan.
“Mereka memiliki skuad terbaik bukan sahaja di Liga Perdana, bukan sahaja di England, malah dalam bola sepak dunia ketika ini. Saya berani katakan tiada pasukan lain yang mempunyai kedalaman skuad sehebat Arsenal.
“Bukan sekadar sebelas pemain utama, tetapi pemain simpanan yang masuk dan mampu mengubah keputusan perlawanan. Tiada pasukan yang lebih baik daripada Arsenal.
“Kadang-kadang kemenangan tidak datang daripada pemain utama, tetapi daripada siapa yang anda bawa masuk dari bangku simpanan. Kita sudah lihat Arsenal — Martinelli masuk dan menjaringkan gol kemenangan, Eze, Merino, sementara Havertz pula sedang cedera.
“Ia menakutkan dan Arteta sendiri sedar hal itu. Ini adalah kejuaraan Arsenal untuk kehilangan. Dalam hati kecil mereka tahu kebenarannya. Ini musim terbaik Arsenal untuk memenangi Liga Perdana. City tidak konsisten, Liverpool pula bergelut, dan kami (Chelsea) belum cukup pengalaman untuk menjuarai liga.
“Bercakap tentang Liga Perdana, saya rasa mereka juga mampu menjuarai Liga Juara-Juara. Begitu hebatnya Arsenal sekarang.
“Ia sesuatu yang menakutkan, saya katakan terus terang dengan skuad yang mereka miliki, pemain-pemain yang ada, serta cara mereka bermain. Saya juga nampak perubahan dari segi mentaliti. Mereka kini percaya, dan saya dapat rasakan bahawa akhirnya Arsenal sudah benar-benar bersedia," katanya.
Walaupun Arsenal menerima kritikan terhadap gaya permainan mereka kerana hanya menjaringkan lima daripada 16 gol Liga Perdana musim ini daripada permainan terbuka, Obi Mikel percaya Arteta mempunyai cukup pilihan di bahagian serangan untuk tidak terlalu bergantung kepada situasi bola mati.
“Tidak penting bagaimana anda menjaringkan gol, tidak penting bagaimana anda menang perlawanan, tidak penting bagaimana anda menjuarai liga. Apa yang penting, menang.
“Tetapi jika anda mempunyai ramai pemain kreatif seperti Declan Rice, Zubimendi, Eze, Gyokeres, Saka, Martinelli, Madueke... anda tidak boleh hanya bergantung pada situasi bola mati. Cari cara untuk membolehkan mereka mencipta peluang dan menjaringkan gol daripada permainan terbuka.
“Perkara ini sudah berlaku sejak musim lalu ketika mereka terlalu bergantung kepada bola mati, lontaran ke dalam, sepakan sudut, tandukan Gabriel atau Saliba, itulah cara Arsenal menjaringkan gol mereka.
“Tetapi saya bukan mahu mengkritik cara mereka menang perlawanan. Mereka berhak menang dengan apa jua cara. Namun, jika anda sudah membelanjakan wang yang banyak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun, anda perlu mencari jalan untuk menjaringkan gol daripada permainan terbuka.
“Namun, kredit harus diberikan kepada mereka tetap menemui cara untuk menang, dan mereka sedang melakukan sesuatu yang betul," katanya.