Rexy yakin sentuhan Kim Wai barakan semula magis beregu lelaki

Iklan
Chang Kim Wai

PENGARAH Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky percaya kehadiran bekas pemain negara, Chang Kim Wai, akan memberi suntikan pengalaman dan kepakaran bernilai dalam usaha memperkukuh skuad beregu lelaki kebangsaan.

Menurut Rexy, latar belakang luas Kim Wai dalam arena beregu menjadikannya pelengkap sempurna kepada pasukan kejurulatihan sedia ada yang diketuai Herry Iman Pierngadi.

Iklan
Iklan

“Kami gembira menyambut kehadiran Kim Wai ke dalam pasukan kejurulatihan.

Pengalaman luas serta pemahamannya terhadap permainan beregu menjadikannya tambahan kukuh di bawah bimbingan jurulatih Herry.

Iklan

"Kami yakin gabungan ini mampu membantu beregu negara mencapai tahap lebih tinggi,” katanya pada Khamis.

BAM sebelum ini mengumumkan pelantikan Kim Wai sebagai penolong jurulatih beregu lelaki berkuat kuasa 4 November ini yang menyaksikan beliau akan bekerjasama rapat dengan Herry dan jurulatih Miftakh bagi memperkemas aspek taktikal serta konsistensi pemain di semua peringkat.

Iklan

Anak kelahiran Perak berusia 49 tahun itu bukan nama asing dalam badminton negara apabila pernah meraih pingat perak Sukan Komanwel 2002, gangsa Sukan Asia 2002 dan merupakan anggota skuad Piala Thomas 2002 yang muncul naib juara.

Pengalaman luasnya di pentas antarabangsa diyakini mampu membawa perspektif baharu, sekali gus memperkukuh hala tuju pembangunan beregu lelaki negara.

Dalam peranan baharunya, Kim Wai akan membantu merancang dan melaksanakan program latihan berprestasi tinggi, dengan tumpuan kepada aspek kesedaran taktikal, keserasian gandingan serta konsistensi prestasi dalam kalangan pemain elit dan pelapis.

Sementara itu, Kim Wai mengakui teruja apabila diberi peluang kembali berkhidmat untuk badminton tanah air.

“Ia satu penghormatan besar untuk saya kembali menyumbang kepada badminton Malaysia.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan jurulatih Herry, jurulatih Miftakh dan semua pemain demi mencapai kejayaan lebih besar untuk negara,” katanya.