Rundingan pembahagian kerusi PH-GRS hampir selesai, hanya tinggal satu

Iklan
Saifuddin Nasution pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini hampir mencapai kata putus, dengan hanya satu kerusi masih belum dimuktamadkan.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara hasil perbincangan yang diadakan semalam bersama beberapa pimpinan parti PH dan GRS.

Iklan
Iklan

"Ya, semalam Pengerusi PH (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Nurul Izzah, Timbalan Presiden Parti (Keadilan Rakyat) telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) dan juga Datuk Seri Masidi Manjun, wakili GRS (Setiausaha Agung GRS).

"Tujuan perjumpaan adalah untuk memuktamadkan proses perbincangan kerusi dan saya boleh sebut di antara keduanya ini sudah pun selesai, kecuali satu. Ada sikit lagi kami kena selesaikan,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Iklan

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Rintis Badan Pendamai antara Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Iklan

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dan PH dilaporkan telah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah ke-17 untuk memastikan tiada pertembungan antara kedua-dua gabungan itu.

Hajiji pada 9 Oktober lepas, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus memberi laluan kepada PRN17 Sabah diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November. - Bernama