PETALING JAYA – Nasib ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas satu kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu, akan diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Berdasarkan sistem kehakiman, keputusan akan disampaikan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh pada jam 9 pagi.
Sekiranya hakim mendapati Ismanira Abdul Manaf, 30, bersalah, maka mahkamah akan menjatuhi hukuman.
Ibu kepada dua anak itu berdepan dakwaan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati dia berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, Ismanira akan dibebaskan serta-merta.
Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokkannya.
Seramai 28 saksi hadir memberi keterangan terhadap kedua-dua tertuduh, dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan bermula 3 Februari hingga 24 April lalu.
Pada 21 Julai, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan di akhir kes pendakwaan.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama terbabit.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Ismanira yang juga tertuduh kedua, membela diri atas pertuduhan yang dihadapi.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Sementara Ismanira diwakili peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.