PERCATURAN berani pengendali Liverpool, Arne Slot menurunkan barisan muda The Reds membawa padah apabila dimalukan 0-3 oleh Crystal Palace dalam saingan Pusingan 16 Piala Liga di Anfield pada Khamis, kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan buat juara Liga Perdana Inggeris itu.
Slot sebelum itu melakukan 10 pertukaran daripada skuad yang tewas 2-3 kepada Brentford hujung minggu lalu, dengan tiga pemain remaja disenaraikan dalam kesebelasan utama dan lima lagi di bangku simpanan.
Namun, keputusan itu jelas memakan diri apabila Ismaila Sarr meledak dua gol pantas dalam tempoh empat minit sebelum rehat untuk meletakkan The Eagles di depan.
Yeremy Pino kemudian menambah derita tuan rumah dengan jaringan ketiga pada minit ke-84.
Tanpa kelibat tonggak utama seperti Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Dominik Szoboszlai, Cody Gakpo, Florian Wirtz, Mohamed Salah dan Hugo Ekitike, Liverpool tampil longlai serta gagal mempamerkan kekuatan sebenar mereka.
Pemain berusia 21 tahun ke bawah yang mengisi bangku simpanan menambah lagi bayangan rapuh skuad itu, yang sebelum ini dua kali muncul juara dalam empat musim terakhir pertandingan sama.
Federico Chiesa hampir membuka jaringan namun percubaannya tersasar tinggi, manakala satu lagi percubaan diselamatkan penjaga gol Palace, Walter Benitez.
Kesilapan Joe Gomez menjadi punca gol pertama apabila beliau gagal mengawal bola dengan kemas sebelum dirampas Sarr yang tenang menyempurnakan peluang.
Empat minit berselang, penyerang Senegal itu sekali lagi tidak dikawal dan mudah menolak masuk hantaran Pino untuk menggandakan kedudukan.
Malang Liverpool bertambah apabila pertahanan muda, Amara Nallo, dilayangkan kad merah terus pada minit ke-79 selepas menarik Justin Devenny yang sedang meluru ke arah gol.
Pino kemudian melengkapkan kemenangan bergaya pelawat dengan rembatan melengkung rendah yang menewaskan penjaga gol tuan rumah.
Kekalahan ini terus menekan Slot menjelang minggu mencabar buat The Reds, yang bakal berdepan Aston Villa dalam aksi liga Sabtu ini, Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Selasa depan dan Manchester City pada 9 November.