Kejayaan datang dengan amaran

Iklan
Pemain, jurulatih dan pengurusan PDRM meraikan kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala Agong. Foto Kesatuan Ragbi Malaysia

KEMENANGAN tipis satu mata yang memastikan kejuaraan hatrik Piala Agong buat skuad ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ahad lalu tidak cukup untuk membuat pengendali mereka, K Dinesvaran, berasa puas.

Bagi bekas tonggak kebangsaan itu, kejayaan 18-17 ke atas Johor di UM Arena, Universiti Malaya bukan sekadar kemenangan penuh drama, tetapi juga amaran jelas bahawa era dominasi PDRM kini berdepan cabaran baharu.

Iklan
Iklan

Malah menurut Dinesvaran, mereka perlu segera memperkukuh kekuatan taktikal serta fizikal jika mahu kekal di puncak arena Piala Agong.

“Sekarang bukan saja PDRM, tapi semua pasukan perlu bangunkan semula program pembangunan pemain dan tingkatkan mutu permainan.

Iklan

"Saya percaya tahun depan saingan Piala Agong akan jadi lebih kompetitif,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas kemenangan satu mata yang mendebarkan itu, Dinesvaran menegaskan tiada istilah ‘menang nasib’ dalam sukan kerana setiap mata tetap hasil kerja keras seluruh pasukan.

Iklan

“Menang tipis, menang besar.. Menang tetap menang, dan saya sangat bangga dengan kemenangan ini. Nak cipta sejarah, memang kena ada drama sikit,” katanya.

Namun dalam nada lebih serius, pengendali berusia 36 tahun itu mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bukan sahaja dalam kalangan pemain, tetapi juga keseluruhan sistem pasukan termasuk dirinya sendiri.

“Sebagai pasukan, kita semua perlu terus belajar, bukan saja pemain, tapi saya sendiri sebagai jurulatih dan semua yang memegang tanggungjawab masing-masing. Semua zon adalah zon bahaya, jadi jangan pernah rasa selesa,” tegasnya.

Mengulas mengenai identiti pasukan beruniform yang sinonim dengan disiplin dan ketahanan mental, Dinesvaran berkata elemen kepolisan itu telah menjadi DNA kekuatan sebenar PDRM di padang.

“Saya nampak banyak bakat baharu yang boleh membawa pasukan kebangsaan lebih jauh. Campuran pemain senior dan muka baharu yang kita ada sekarang sangat baik. Harap tahun depan kita boleh bantu bawa pasukan Malaysia pergi lebih jauh,” ujarnya.