Leher budak cedera terkena tali di padang

Iklan
Mangsa mengalami luka di leher dibawa ke klinik sebelum dirujuk ke HTAR Klang.

PELABUHAN KLANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera di bahagian leher selepas didakwa terkena tali yang dipasang di kawasan padang berhampiran rumahnya di Taman Kem, Pelabuhan Klang pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Muhammad Iman Hazri, sedang bermain basikal bersama rakan-rakannya di padang yang sedang dijalankan kerja ubah suai apabila insiden tersebut berlaku.

Iklan
Iklan

Menurut ibunya, Irnawati Sadali, 48, anak bongsunya itu tidak menyedari terdapat tali yang direntang di bahagian belakang deretan gerai berhampiran padang berkenaan sebelum lehernya terkena tali tersebut.

“Dekat kawasan padang itu sekarang tengah buat kerja pengubahsuaian. Saya ingatkan kontraktor pasang tali di bahagian depan sahaja, tetapi rupa-rupanya ada juga tali direntang di belakang gerai.

Iklan

“Masalahnya, tiada tanda amaran atau papan ‘awas’ dipasang. Budak-budak pun tak tahu kawasan itu bahaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, akibat kejadian itu anaknya mengalami luka di leher dan dibawa ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Iklan

“Doktor maklumkan luka itu hanya di bahagian kulit dan tidak sampai ke dalam. Namun, doktor minta pantau selama enam jam bagi memastikan tiada bengkak atau kecederaan pada urat.

“Alhamdulillah, suara anak saya juga dalam keadaan baik dan tidak terjejas,” ujarnya.

Menurut Irnawati, beliau dimaklumkan oleh penduduk bahawa pihak kontraktor mengakui memasang tali berkenaan dan akan bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

“Dia (kontraktor) sudah mengaku kepada persatuan penduduk bahawa memang dia yang pasang tali itu dan akan bertanggungjawab. Tapi saya tetap akan buat laporan polis selepas dapat laporan doktor.

“Saya nak lindungi anak saya juga kalau nanti pihak pemaju salahkan budak-budak sebab main di situ,” ujarnya.

Irnawati yang juga ibu tunggal berkata, anaknya pulang ke rumah dalam keadaan leher berdarah sambil ditolong oleh rakan-rakan selepas insiden tersebut.

“Dia masih mampu kayuh basikal balik tapi tangan dia pegang leher. Kawan dia bagitahu, baru saya tahu kena tali itu.

“Saya memang terkejut sangat. Kalau terkena kuat sikit sampai ke urat, saya tak tahu apa jadi,” ujarnya.

Beliau turut berharap pihak kontraktor dan pihak berkuasa tempatan mengambil serius kejadian tersebut serta memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan di kawasan kerja bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.