Silicon Island pacu visi bandar pintar

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif Silicon Island, Datuk Szeto Wai Loong (kiri) bersama Kon Yeow (dua dari kiri) dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) meninjau model skala Silicon Island semasa majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

PELANCARAN Green Tech Park Fasa 1 oleh Silicon Island Development Sdn Bhd (Silicon Island) baru-baru ini menandakan satu lagi pencapaian penting buat Pulau Pinang sebagai destinasi utama pembuatan termaju, rekreasi dan pelancongan.

Pengenalan projek pembangunan bandar pintar itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini adalah antara usaha mewujudkan hab generasi baharu Pulau Pinang bagi industri elektronik dan elektrikal bernilai tinggi.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek yang melibatkan 101.17 hektar (250 ekar) tanah pulau yang siap ditambak itu melengkapi Zon Perindustrian Bayan Lepas sedia ada.

“Projek tersebut mengukuhkan lagi kedudukan negeri sebagai hab global utama bagi industri semikonduktor sambil memacu pertumbuhan berterusan dalam industri berteknologi tinggi.

Iklan

“Selain sektor industri dan kelestarian, Silicon Island juga akan menampilkan Heart of the Island (HOTI) yang diilhamkan sebagai destinasi rekreasi serta pelancongan baharu di bahagian selatan Pulau Pinang,” katanya.

Ujarnya, HOTI akan menggabungkan elemen gaya hidup, rekreasi, kebudayaan dan tarikan hijau, selain menarik kehadiran pelawat tempatan serta pelancong antarabangsa.

Iklan

“Apabila siap sepenuhnya, Silicon Island dengan infrastruktur moden dan tarikan pelancongannya akan melengkapi status Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

“Pada masa sama, pembangunan canggih berkenaan memperkukuh lagi daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Green Tech Park merupakan presint perindustrian utama dalam pembangunan Silicon Island yang direka sebagai bandar pintar masa hadapan menggabungkan kelestarian, inovasi dan teknologi.

Silicon Island diilhamkan sebagai hab bertaraf dunia untuk pembuatan termaju dengan menggabungkan infrastruktur digital terkini.

Selain penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, reka bentuk mesra alam menarik industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, pembungkusan termaju, peranti perubatan dan lain-lain.

Fasa pertama pembangunan tanah dijangka bersedia untuk memulakan pembinaan kilang pertama pada tahun depan manakala operasi dijangka bermula seawal 2027.