PUTRAJAYA - Seorang pemilik syarikat pembekal makanan direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen palsu melibatkan tuntutan berjumlah kira-kira RM450,000.
Perintah reman terhadap wanita berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa bagi tempoh bermula 28 hingga 30 Oktober ini.
Iklan
Iklan
Menurut sumber, suspek ditahan sekitar jam 8.45 malam pada 27 Oktober ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.
"Suspek dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi tuntutan bekalan makanan untuk sebuah program latihan kemahiran kepada agensi kerajaan melalui sebuah yayasan di ibu negara sekitar tahun 2018.
"Hasil siasatan awal mendapati beberapa individu yang namanya digunakan dalam tuntutan tersebut menafikan pernah terlibat dalam program berkenaan, malah bekalan makanan yang dinyatakan juga tidak dilaksanakan seperti dalam permohonan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu," katanya.