KUALA LUMPUR - Abbott bersama rangkaian farmasi utama negara, BIG CARiNG Group (BCG), berganding bahu melaksanakan Program Kesedaran Influenza di seluruh negara bagi mempertingkatkan kefahaman rakyat Malaysia tentang penyakit itu melalui intervensi awal dan pendidikan kesihatan komuniti.
Program yang akan berlangsung selama tiga tahun bermula 2025 hingga 2027 itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran terhadap bahaya influenza serta kepentingan pencegahan menerusi amalan kesihatan proaktif.
Menurut kenyataan bersama Abbott dan BCG, program tersebut akan dijalankan secara berperingkat di kawasan bandar dan luar bandar dengan pelbagai aktiviti termasuk Hari Kesihatan, program kesihatan korporat, pameran pelancongan, serta hari kesedaran kesihatan di sekolah dan universiti.
Antara pengisian utama termasuk sesi ceramah, saringan kesihatan, konsultasi awam dan aktiviti interaktif yang memberi tumpuan kepada langkah pencegahan jangkitan influenza.
Pengurus Besar Bahagian Ubat-Ubatan Abbott Malaysia, Kwa Kheng Hoe berkata, influenza bukan sekadar penyakit bermusim, sebaliknya mampu menjejaskan kehidupan individu dan keluarga jika tidak ditangani dengan betul.
“Melalui kerjasama dengan BCG, kami mahu membantu rakyat Malaysia mengambil langkah pencegahan mudah tetapi berkesan. Matlamat kami ialah memberi pengetahuan yang diperlukan agar mereka dapat melindungi diri dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kelestarian BIG CARiNG Group, Loo Jooi Leng menjelaskan bahawa kesedaran kesihatan merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat dan kerjasama ini menjadi langkah penting untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses oleh semua.
“Kami bukan sekadar mendidik, tetapi juga mendekati masyarakat di mana mereka berada. Melalui usaha bersama ini, kami mahu memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjaga kesejahteraan diri,” katanya.