Disiplin, keserasian pacu kemenangan JDT - Munoz

Iklan
Arif Aiman diasak oleh pemain Penang FC ketika aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Selasa. Foto: Johor Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menyifatkan disiplin dan keserasian pasukan menjadi antara faktor utama kemenangan Harimau Selatan menewaskan Penang FC 3-0 (aggregat 5-1), pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Menurutnya, walaupun menurunkan barisan berbeza berbanding perlawanan sebelum ini, kesemua pemain tetap mempamerkan aksi bertenaga dan menunjukkan kefahaman taktikal yang baik untuk memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Iklan
Iklan

“Kita baru beraksi dua hari lalu, dan hari ini (Selasa), saya gunakan kesebelasan berbeza. Namun mereka bermain dengan sangat baik dan terus mengekalkan corak permainan seperti yang kita mahukan.

“Separuh masa kedua kami ubah sedikit taktikal dan pendekatan, tapi yang paling penting, kami berjaya mara ke pusingan seterusnya dan kita juga mengekalkan rekod bersih tanpa bolos,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Iklan

Pada aksi berkenaan, Bergson Da Silva membuka jaringan pada minit ke-38, diikuti Jonatan Silva (min-40) dan Eddy Israfilov melengkapkan kemenangan Skuad Harimau Selatan itu apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan babak pertama.

Mengulas mengenai prestasi skuad kendaliannya itu, Munoz berkata, setiap pemain perlu mengekalkan fokus dan tenaga menjelang aksi-aksi penting akan datang terutamanya, melibatkan aksi di gelanggang lawan.

Iklan

Katanya, aksi di gelanggang lawan pada kebiasaannya akan menjadi lebih sukar dan pemain perlu bersedia dan kekal fokus.

“Kami masih ada beberapa perlawanan lagi dalam tempoh singkat, jadi pemain perlu kekal fokus seperti hari ini.

“Perlawanan di tempat lawan pastinya lebih mencabar, dan kami perlu pastikan momentum ini berterusan hingga ke penghujungnya,” tambahnya.

Sementara itu, Munoz turut memuji kesungguhan pemain muda yang diberi peluang beraksi dalam perlawanan tersebut, termasuk debut seorang pemain dari JDT 2.

“Saya gembira dapat beri peluang kepada pemain muda. Tetapi sudah tentu mereka buat kesilapan kecil, itu normal dalam bola sepak.

“Mereka masih belajar, dan sebagai jurulatih, tugas saya adalah membantu mereka perbaiki diri untuk langkah seterusnya. Saya suka sikap positif mereka dan keinginan untuk belajar," katanya.

Oleh yang demikian beliau berkata, menjadi tanggungjawab pasukan untuk terus memberikan sokongan kepada pemain muda ini supaya mereka dapat meningkat ke tahap yang lebih tinggi.