Projek rintis literasi digital

Iklan
Aznan (empat dari kanan) menyampaikan komputer riba kepada wakil sekolah yang terlibat dalam Program Pendidikan Literasi Digital di SK Sayong Pinang, Kulai pada Isnin.

KULAI - Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan AFFIN Islamic Bank Berhad melancarkan Program Pendidikan Literasi Digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong Pinang, Kulai pada Isnin.

Inisiatif itu bertujuan merapatkan jurang digital dan memperkasa murid luar bandar serta sekolah kurang murid, khususnya dalam kalangan keluarga B40.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Yayasan JCorp memperluas akses terhadap teknologi dan sumber pembelajaran untuk murid luar bandar di Johor.

“Program ini bukan sekadar memberi sumbangan komputer riba atau papan pintar tetapi membuka peluang kepada murid luar bandar, khususnya daripada keluarga B40 menikmati kemudahan digital dalam proses pembelajaran mereka.

Iklan

“Apabila seorang murid dari sekolah kecil luar bandar belajar menulis kod, meneroka atau menzahirkan idea melalui teknologi, itu bukan sekadar literasi digital tetapi satu transformasi,” katanya pada majlis pelancaran yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Aznan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen berterusan bagi memperkukuh akses pendidikan inklusif di seluruh Johor.

Iklan

Dengan tema Membina Generasi Celik Digital Masa Hadapan, program tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran digital asas dan penggunaan teknologi dalam pembelajaran abad ke-21, khususnya untuk murid sekolah rendah.

Tiga sekolah kurang murid terpilih sebagai projek rintis iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sikijang, SK Belokok dan SK Sayong Pinang (sekolah komuniti Orang Asli).

Setiap sekolah menerima 20 unit komputer riba dan satu papan pintar interaktif bagi mewujudkan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan serta interaktif di dalam kelas.

Selain itu, JPNJ bersama sekolah terlibat akan membangunkan modul literasi digital bagi memastikan kandungan pembelajaran sesuai keperluan murid luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada teknologi.

Program tersebut kolaborasi pertama antara Yayasan JCorp dan AFFIN Islamic Bank Berhad bagi merealisasikan visi bersama memperkasa komuniti luar bandar melalui teknologi dan peluang digital.