Majlis Khatam Al-Quran Perdana Murid Tahun Enam SAN Selangor dirai di Karangkraf

Iklan
Majlis Khatam Al-Quran Perdana Murid Tahun Enam SAN Selangor berjaya dilaksanakan di Karangkraf, Shah Alam.

SHAH ALAM - Seramai lebih 400 murid Tahun Enam Sekolah Agama Negeri (SAN) Selangor diraikan dalam Majlis Khatam al-Quran Perdana Murid Tahun Enam SRA/SRAI/KAFA Integrasi Negeri Selangor 1447H/2025 yang diadakan di Karangkraf Sdn Bhd di sini.

Program anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Unit Pendidikan Islam Daerah Petaling, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Karangkraf dan Karya Bestari itu menjadi simbolik penghargaan kepada pelajar yang berjaya khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Iklan
Iklan

Majlis dimulakan dengan sesi tadabbur surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Beliau menggalakkan agar tiga surah tersebut diamalkan pada waktu pagi dan petang sebagai benteng diri daripada gangguan, hasad dengki serta rasa lemah semangat.

Iklan

“Surah al-Ikhlas merupakan ringkasan kepada satu pertiga isi kandungan al-Quran yang merangkumi tauhid, ibadah dan akhlak. Apabila kita yakin dengan ALLAH Yang Maha Esa, hati menjadi tenang dan kuat menghadapi ujian hidup,” katanya.

Menurut beliau, surah al-Falaq pula mengajar umat Islam memohon perlindungan daripada segala keburukan makhluk, sihir dan hasad dengki, manakala Surah an-Nas mengingatkan manusia agar berlindung daripada godaan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan hati.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Siti Razmah Idris, dalam ucapan penutupnya berkata, majlis itu membuktikan kejayaan anak-anak menguasai bacaan al-Quran pada usia muda, sekali gus menunjukkan keberhasilan usaha pendidikan Islam yang diterapkan di semua sekolah agama negeri di Selangor.

“Tahniah kepada semua sekolah rendah agama yang melaksanakan majlis khatam serentak di seluruh negeri ini.

“Penghayatan al-Quran harus dijadikan asas pembentukan peribadi, nilai murni dan integriti dalam diri generasi muda.

“Khatam al-Quran bukan penamat, tetapi langkah permulaan untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan. Anak-anak yang berdamping dengan al-Quran sejak kecil akan membesar menjadi generasi yang bijak dan bertanggungjawab kepada ummah dan negara.

“Ramai mampu membaca, tetapi tidak ramai yang istiqamah. Teruskan tadabbur, hafazan dan amalan agar al-Quran benar-benar hidup dalam hati kita,” tambahnya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian simbolik kotak fidyah kepada pelajar asnaf.

Menurut Penyelia Akademik Daerah Petaling, Ustazah Maizan Salleh, majlis tersebut diadakan setiap tahun secara bergilir antara daerah-daerah di Selangor.

"Tahun ini, daerah Petaling dipilih sebagai tuan rumah dan buat pertama kalinya majlis diadakan di luar kawasan sekolah.

“Kami memilih Karangkraf kerana ia merupakan antara syarikat yang terlibat dalam penerbitan al-Quran. Jadi, tempat ini sangat bersesuaian dengan semangat program yang berteraskan al-Quran,” katanya.

Selain acara khatam al-Quran, program turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kotak fidyah kepada pelajar asnaf terpilih dari sembilan daerah di Selangor.

“Setiap pelajar asnaf menerima satu kotak fidyah sumbangan LZS yang mengandungi keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan sardin. Setiap seorang menerima 10 kilogram beras,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Anas Ayob; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Unit Agihan Fidyah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Bakhtiar Suratman; dan Pegawai Tadbir Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Ustaz Mohd Farid Hadi Sharif.