Rafizi buat eksperimen buka kedai makan siap RM5

Iklan
Rafizi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bakal memperkenalkan dua kedai berkonsepkan perusahaan sosial iaitu Fleximart dan Kesum yang menjual makanan serta barangan pada harga mampu milik bawah RM5.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, dua inisiatif utama di bawah Ayuh Malaysia tersebut akan mula dibuka kepada orang ramai masing-masing pada 1 November dan 8 November ini.

Iklan
Iklan

Menurut Rafizi, Fleximart merupakan sebuah kedai serbaneka yang memberi tumpuan kepada makanan siap bawah RM5, selain menawarkan barangan runcit lain pada harga rendah.

“Kesum ialah kedai makan ‘value meal’ berkonsepkan ‘asal kenyang, sedap dan murah’ bersempena daun kesum serta singkatan kepada kenyang, sedap dan murah.

Iklan

“Kesum akan menjual makanan sarapan, tengah hari dan malam pada harga bawah RM5,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya pada Selasa.

Beliau menjelaskan, kedua-dua kedai itu menggunakan konsep perusahaan sosial iaitu perkongsian antara penyumbang modal dan pekerja.

Iklan

“Keuntungan akan dikongsi bersama antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai. Lebih banyak keuntungan, lebih tinggi gaji pekerja dan sebahagian keuntungan itu akan disumbangkan kembali supaya harga dapat dikekalkan rendah.

“Saya tidak tahu sama ada model yang julung kali dibuat untuk kedai-kedai ini akan berjaya. Niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan membantu orang ramai dengan menawarkan makanan serta barangan pada harga lebih murah.

“Sekiranya dua eksperimen sosial tersebut berjaya, kami mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengembangkannya kepada lebih banyak cawangan,” katanya.

Ujarnya, lebih banyak cawangan dibuka bermakna lebih banyak tawaran harga rendah dapat diberikan dan lebih ramai anak muda dilatih untuk memiliki serta mengendalikan perniagaan sendiri.

“Saya jemput orang ramai hadir ke pembukaan Fleximart pada hari Sabtu, 1 November 2025 jam 10 pagi di alamat No. 35, Jalan Plumbum U7/U, Seksyen 7, Shah Alam (sederet dengan Speedmart).

“Kesum akan dibuka pada 8 November 2025 jam 9 pagi di alamat No. 25, Jalan Pandan Indah 1/20, Pandan Indah (sederet dengan KM Bistro).

“Insya-ALLAH, saya akan buat kopi, sediakan makanan dan menjadi sebahagian daripada krew Fleximart dan Kesum pada hari itu,” katanya.