Gudang tamat lesen jadi tempat 'sorok' kereta mewah import

Iklan
Antara kenderaan mewah yang dirampas JKDM.

KLANG – Tindakan sebuah gudang yang masih beroperasi walaupun lesen telah tamat tempoh sejak lima bulan lalu terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemukan 14 kenderaan mewah tanpa pembeli dalam satu serbuan pada 9 September lalu.

Dalam operasi tersebut, JKDM merampas pelbagai kereta import dari Asia dan Eropah termasuk Porsche 911 GT3 RS, Mercedes-Benz S680 Maybach, Mercedes-Benz GLA35, Lexus RX300 dan Toyota Harrier.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, siasatan mendapati gudang berkenaan masih menjalankan operasi walaupun lesen mereka telah tamat tempoh sejak lima bulan lalu.

“Setiap gudang kenderaan diberikan tempoh lesen selama 48 bulan bagi tujuan pengoperasian.

Iklan

“Kesemua kenderaan yang disita merupakan kategori recond dan didapati tidak mempunyai pembeli. Sebanyak 14 unit kenderaan disita dengan nilai keseluruhan termasuk cukai dianggarkan RM3.34 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan paling mahal ialah Mercedes-Benz S680 Maybach dengan anggaran nilai termasuk cukai sebanyak RM752,000, diikuti Porsche 911 GT3 RS bernilai RM554,000.

Iklan

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Azhar memaklumkan pihaknya turut merampas 1,314 liter minuman keras bernilai RM268,189 termasuk cukai dalam satu pemeriksaan di Zon Bebas Pelabuhan Barat pada 6 Oktober lalu.

“Siasatan mendapati dagangan dari sebuah negara Eropah itu telah memasuki negara ini sejak 14 September lalu tanpa sebarang permit import yang sah.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan, atau RM500,000, yang mana lebih tinggi, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.