KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, sukarelawan serta rakyat Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir di ibu negara pada Selasa.
Beliau berkata, kejayaan Malaysia menganjurkan sidang kemuncak berprofil tinggi itu adalah hasil dedikasi semua pihak, termasuk pegawai kerajaan, pasukan keselamatan, petugas lapangan terbang dan sukarelawan yang memastikan setiap urusan berjalan lancar sepanjang persidangan berlangsung.
Iklan
Iklan
“Daripada lapangan terbang hingga ke pasukan polis di lapangan, tugas telah menjadi perkhidmatan, dan perkhidmatan itu pula menjadi lambang kasih kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan sepanjang tempoh penganjuran sidang yang menghimpunkan lebih 20 ketua kerajaan dan delegasi serantau.
Menurut beliau, sikap rakyat yang tetap beradab dan berdisiplin walaupun berdepan gangguan trafik serta sekatan keselamatan sementara menjadi cerminan jati diri bangsa Malaysia di mata dunia.
“Kesabaran bukan sekadar kebiasaan kita, tetapi ia adalah karakter dan keperibadian rakyat Malaysia,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa semangat dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang tempoh sidang kemuncak ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja berjaya menjadi tuan rumah yang baik, tetapi juga bangsa yang berhemah, beradab dan komited kepada keharmonian serantau.