Pengguna perlu fahami perjalanan minyak sawit mampan - CCC

Iklan
Menyokong minyak sawit mampan bermakna menyokong petani kita, hutan kita dan kesejahteraan kita.

PENGGUNA  perlu lebih memahami perjalanan minyak sawit mampan dari penanaman hingga ke pembungkusan, serta mengiktiraf peranannya yang penting dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam.

Wakil Consumer Choice Center (CCC), Tarmizi Anuwar berkata, pengguna perlu melihat keseluruhan kisah di sebalik minyak sawit mampan bermula daripada petani yang bertanggungjawab dan perlu mematuhi piawaian alam sekitar yang ketat di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Iklan
Iklan

"Pensijilan ini penting bagi memastikan setiap langkah pengeluaran memenuhi standard alam sekitar dan sosial yang tinggi. Komitmen terhadap kemampanan ini bukan sahaja melindungi ekosistem kita, tetapi juga memastikan minyak sawit yang sampai kepada pengguna adalah berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pensijilan MSPO merupakan piawaian kebangsaan Malaysia yang mempromosikan amalan pertanian mampan dalam kalangan pekebun kecil dan pengusaha ladang.

Iklan

"Ia memastikan kebolehkesanan, amalan buruh yang adil dan kesan minimum terhadap alam sekitar, sekali gus membantu Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab," katanya.

Transformasi industri kini mula membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya mengurangkan kehilangan hutan asli sebanyak 57 peratus antara tahun 2015 hingga2017 dan 2020 hingga 2022, serta mencatatkan penurunan tambahan sebanyak 13 peratus pada tahun 2024.

Iklan

Buat pertama kali, Malaysia tidak lagi berada dalam senarai 10 negara teratas bagi kehilangan hutan tropika utama, menurut data Global Forest Watch.

Menurut Tarmizi, sejak tahun 2019, pengeluaran minyak sawit Malaysia tidak melebihi 19.85 juta tan, sebahagiannya disebabkan oleh pengurangan kawasan tanaman sawit sebanyak 4.2 peratus (247,588 hektar) dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Penurunan ini katanya, ekoran keputusan Malaysia untuk tidak memperluas kawasan tanaman baharu demi memelihara alam sekitar.

"Sebagai perbandingan, dalam pada Malaysia mengurangkan kawasan tanaman matang, industri minyak sayuran lain terus berkembang. Contohnya, Brazil telah menambah kawasan tanaman soya sebanyak 6 juta hektar lebih besar daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit Malaysia yang kini berjumlah 5.65 juta hektar selepas lebih satu abad penanaman," katanya.

Tarmizi berkata, persepsi awam terhadap minyak sawit sering kali diselubungi maklumat yang tidak tepat.

“Minyak sawit bukan musuh, ia adalah sumber yang sering disalah tafsir. Apabila dihasilkan di bawah piawaian MSPO, ia dapat menyokong pemuliharaan alam sekitar dan kesihatan manusia. Menyokong minyak sawit mampan bermakna menyokong petani kita, hutan kita dan kesejahteraan kita,” katanya.

Beliau menambah, apabila kita bercakap tentang kemampanan, kita juga bercakap tentang kesihatan kerana minyak sawit secara semula jadi bebas lemak trans, kaya dengan tokotrienol vitamin E, serta mempunyai komposisi lemak seimbang yang menjadikannya minyak masakan yang stabil dan berkhasiat.

"Ciri-ciri ini menjadikan minyak sawit antara pilihan yang lebih sihat untuk kegunaan rumah mahupun industri makanan,” katanya.

Beliau berkata, CCC memperjuangkan pilihan pengguna yang berasaskan fakta sahih dan proses yang telus.

“Pengguna mempunyai kuasa untuk mendorong perubahan positif dengan memilih produk yang diperakui MSPO. Setiap pembelian menghantar mesej bahawa kemampanan dan kesihatan adalah penting,” katanya.

Dalam dunia yang pantas menyebarkan maklumat tidak sahih, CCC terus mempromosikan perbincangan berasaskan bukti serta menggalakkan industri, pembuat dasar dan pengguna menegakkan ketelusan dan akauntabiliti.

CCC yang merupakan kumpulan advokasi pengguna bukan berasaskan keuntungan kekal komited untuk memperkasa rakyat Malaysia membuat pilihan yang mampan, beretika dan bermanfaat untuk kesihatan jangka panjang.