Gangguan perkhidmatan Aerotrain, APAD diarah buka kertas siasatan terhadap MAHB

Iklan
Menteri Pengangkutan arah APAD membuka kertas siasatan terhadap MAHB selepas beberapa gangguan perkhidmatan Aerotrain. Foto hiasan

SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pengendali perkhidmatan Aerotrain.

Anthony Loke dalam kenyataan berkata, pada peringkat awal operasi Aerotrain, kementeriannya telah mengambil maklum bahawa MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan perkhidmatan tersebut berada dalam fasa penyesuaian awal.

Iklan
Iklan

“Namun begitu, memandangkan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan, kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan perkhidmatan yang berlaku.

“Lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan bahawa syarikat tersebut wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna,” katanya pada Selasa.

Iklan

Tambah Anthony, di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.

Sebelum ini, sejak beroperasi semula pada 1 Julai lalu, Aerotrain telah mengalami gangguan perkhidmatan beberapa kali dengan insiden terbaharu dikatakan berlaku awal pagi tadi.

Iklan

Malah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, ketika menjawab pertanyaan pada sesi Parlimen baru-baru ini, memaklumkan bahawa dari 2 Julai hingga 30 September lalu, terdapat 19 kali sistem Aerotrain mengalami masalah, antaranya berkaitan isu teknikal seperti semboyan serta disebabkan oleh faktor manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu tren.