Dua pelajar diperintahkan bon berkelakuan baik dua tahun

Iklan
Dua pelajar dikenakan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun.

SUNGAI PETANI – Dua pelajar lelaki dari sebuah sekolah di daerah ini diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak di sini untuk menjalani hukuman bon berkelakuan baik dua tahun tanpa cagaran atas kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap rakan sekolah pada Julai lalu.

Majistret Mohamad Azlan Basri mengeluarkan perintah tersebut ke atas dua pelajar lelaki Tingkatan Tiga itu menerusi prosiding yang dijalankan secara tertutup pada Selasa.

Iklan
Iklan

Selepas prosiding, pihak mahkamah memaklumkan kepada media bahawa mahkamah turut menetapkan syarat tambahan, iaitu ibu kandung penama perlu menemani pelajar terbabit melapor diri di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan, sebulan sekali sepanjang tempoh bon, selaras dengan Seksyen 93(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar itu didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar Tingkatan Empat pada kira-kira jam 12.15 tengah hari di dewan sekolah pada 21 Julai lalu.

Iklan

Disebabkan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Nor, manakala kedua-dua pelajar tidak diwakili peguam.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 sementara menunggu serahan laporan akhlak.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar di sebuah sekolah di daerah ini cedera di bahagian mata, dipercayai ditumbuk oleh rakan sekolah sehingga menyebabkan lebam dan muntah-muntah.