Budak lelaki 4 tahun maut dilanggar MPV ketika main basikal

Iklan
Tangkap layar video yang dikongsi di Facebook memaparkan keadaan basikal dinaiki mangsa selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah MPV di kawasan Perumahan Rakyat Pak Mahat, Jalan Tanjung Lumpur pada Isnin.

KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika bermain basikal berhampiran Surau Pak Mahat, Perumahan Rakyat Pak Mahat, Jalan Tanjung Lumpur di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Zulfan Adwa Mohd Zulkifli yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.22 petang daripada seorang lelaki berusia 32 tahun iaitu pemandu MPV jenis Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika MPV yang dipandu oleh pekebun itu dalam perjalanan dari arah Perumahan Rakyat Pak Mahat menuju ke Jalan Tanjung Lumpur.

Iklan

"Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa membelok ke kiri tanpa disedari pemandu, MPV tersebut telah melanggar mangsa yang sedang menunggang basikal di tengah jalan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Iklan

Ashari berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.24 pagi pada Selasa ketika menerima rawatan di Wad PICU hospital berkenaan.

"Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.