MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) melalui anak syarikatnya, Teras Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), terus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi ummah dengan pelancaran Gedung Fesyen dan Produk Berjenama Teras serta Kempen Jualan Back to School di Taman Sri Manja di sini pada Isnin.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin bersama Pengerusi Teras, Datuk Bakhtiar Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Teras, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim.
Salehuddin ketika ditemui berkata, Teras ditubuhkan bagi membangunkan ekonomi asnaf melalui peluang pekerjaan dan pengeluaran produk sendiri, sekali gus mengubah mereka daripada penerima kepada penyumbang zakat.
“Kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi menyediakan ruang untuk mereka berdikari. Hasil zakat digunakan semula untuk melatih dan memberi peluang pekerjaan kepada asnaf,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Gedung yang mula beroperasi pada September lalu menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian seragam sekolah, jubah, baju kurung dan tudung, termasuk barangan makanan berjenama Teras seperti beras dan minyak masak.
Menurutnya, inisiatif itu jadi platform memperkukuh ekosistem ekonomi Islam yang mampan dan inklusif, di samping membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan.
“Teras menyasarkan pasaran B40 dan M40 dengan harga kompetitif tanpa kompromi terhadap kualiti. Kita mahu hasil produk Muslim yang mendapat tempat di pasaran,” ujarnya.
Sementara itu, Bakhtiar pula berkata, kempen Back to School bukan sahaja menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat.
Untuk itu, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut menaja 30 anak yatim di bawah seliaannya dengan tajaan RM200 seorang bagi menerima kelengkapan persekolahan dalam program itu.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan dividen Teras 2024 sebanyak RM121,718.40 kepada MAIS, sumbangan wakaf tunai RM100,000 kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), dan RM100,000 kepada YIDE bagi pembinaan rumah anak yatim.
Katanya, MAIS berhasrat memperluaskan gedung Teras ke seluruh negeri dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kami mahu jenama Teras menjadi pilihan utama rakyat dan simbol kekuatan ekonomi umat Islam di Selangor,” tambahnya.