BEKALAN empat gol bukan alasan untuk leka.
Itu tekad pertahanan import Kuching City FC, Yuki Tanigawamenjelang pertembungan getir menentang Terengganu FC pada suku akhir kedua Piala FA 2025/26 di Stadium Negeri pada Selasa.
Baginya, kelebihan besar yang dimiliki pasukan itu hanya akan bermakna jika mereka menamatkan tugasan di laman sendiri dengan disiplin dan tumpuan sepenuhnya.
“Kami tak boleh fikir sudah selesa. Lawan ada pemain yang pantas dan bijak seperti Yann Mabella.
“Saya pernah berdepan dia sebelum ini, dan ketika itu dia benar-benar uji saya dengan kelajuan serta kawalan bola,” katanya.
Pemain Jepun berusia 28 tahun itu mengakui pengalamannya menentang Mabella sebelum ini banyak mengajarnya agar tidak terlalu ghairah mengejar bola.
“Saya sedikit bergelut kali terakhir bertemu dia. Kali ini saya mahu lebih berhati-hati, lebih fokus dan gunakan pengalaman itu untuk pastikan dia tidak bebas bergerak,” katanya.
Pada masa sama Tanigawa turut mengingatkan rakan sepasukan supaya mengekalkan rentak seperti aksi pertama, namun tidak menjadikan kelebihan agregat 4-1 sebagai penenang diri.
“Bagi saya, suku akhir kedua ini ibarat mula dari sifar. Kami mesti main dengan semangat sama seperti sebelum ini, malah lebih baik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Kuching City bukan sekadar mahu mara ke separuh akhir, sebaliknya mahu membuktikan kematangan sebagai pasukan yang semakin dihormati dalam saingan domestik.
“Saingan piala berbeza dengan liga Ia menguji karakter dan mental kami. Kalau mahu terus ke depan, kami perlu buktikan di sini dulu sebelum fikir siapa lawan seterusnya,” ujarnya sambil mengakui sudah terlintas kemungkinan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat seterusnya.
PIALA FA 2025/26
Suku Akhir Kedua
28 OKTOBER
Kuching City (4) lwn (1) Terengganu FC
(Stdm Negeri, 7.45 malam)
Johor Darul Ta’zim (2) lwn (1) Penang FC
(Stdm Sultan Ibrahim, 8.15 malam)
29 OKTOBER
Sabah FC (2) lwn (1) Kelantan TRW FC
(Stdm Likas, 8.15 malam)
Selangor FC (4) lwn (0) Negeri Sembilan FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)
*Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama