Pemimpin Bersatu perlu laksana 'gencatan senjata', fokus PRN Sabah - Razali
Iklan
Datuk Razali Idris
SHAH ALAM - Semua pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu melaksanakan 'gencatan senjata' bagi menghentikan pertelagahan dalaman buat sementara waktu bagi menumpukan sepenuhnya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, gesaan itu dikemukakan pihaknya susulan persiapan Perikatan Nasional (PN) menghadapi PRN Sabah kini berada pada peringkat akhir.
Iklan
Iklan
Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berpandangan sebarang pertikaian atau kenyataan terbuka mengenai isu kepemimpinan Bersatu hanya akan menjejaskan misi gabungan itu menawan Negeri Di Bawah Bayu.
"Saya minta semua bertenang dan beri tumpuan kepada PRN Sabah.
Iklan
"Kita adakan ‘gencatan senjata’ seketika kerana ada agenda lebih besar yang perlu diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas konflik dalaman terkini Bersatu di mana sekurang-kurangnya tujuh ketua bahagian parti itu termasuk Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundur diri daripada terus memegang jawatan tertinggi parti.
Iklan
Saifuddin turut menggesa bekas sekutu lamanya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Setiausaha Agung Bersatu perlu digugurkan daripada jawatan tersebut bagi membersihkan parti daripada masalah moral yang menjejaskan reputasinya.
Saifuddin merupakan ahli Parlimen ketiga yang secara terbuka menentang Muhyiddin. Dua yang lain ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Saiful dipecat daripada Bersatu minggu lalu, manakala keahlian Wan Ahmad Fayhsal digantung selama sepenggal.
Saifuddin juga menyertai sidang media anjuran Wan Saiful bulan lalu, di mana Wan Saiful menafikan dakwaan bahawa 120 ketua bahagian mahu menumbangkan Muhyiddin.
Mengulas lanjut, Razali turut mengingatkan bahawa kemelut dalaman Bersatu wajar diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan parti-parti lain dalam PN yang ketika ini sedang menumpukan persiapan jentera di Sabah.
“PN akan bertempur dalam PRN Sabah dan berhasrat menawan negeri itu, tetapi kalau kita (Bersatu) terus bergaduh sesama sendiri, ia akan menjejaskan kekuatan gabungan,” katanya lagi.
Menurut beliau, semua ahli Bersatu yang benar-benar cintakan parti perlu melihat gambaran lebih besar dengan menumpukan usaha ke arah kemenangan PN di Sabah.
“Kita selesaikan isu dalaman dengan berhemah dan penuh tertib, bukan di media. Sekarang masa untuk bekerja bagi kemenangan bersama,” tegasnya.
Perikatan Nasional (PN) menubuhkan pasukan perundangan bagi meneliti tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu, lapor wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasukan berkenaan sedang meneliti tindakan yang sesuai dari sudut perundangan termasuk kemungkinan memohon injunksi atau pengisytiharan bahawa keputusan berkenaan tidak sah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/797938/berita/politik/pn-tubuh-pasukan-perundangan-teliti-tindakan-ros
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.