Rayuan haji 2026/1447H mula dibuka 3 November ini - TH

Iklan
Pendeposit boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses permohonan, semakan kategori rayuan dan status permohonan melalui aplikasi THiJARI.

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 3 November ini.

Ketua Jabatan Haji TH Mohd Hisham Harun berkata, TH membuka proses rayuan haji lebih awal bagi memberi kemudahan kepada bakal haji untuk membuat persediaan dengan lebih rapi dan memastikan proses permohonan rayuan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Iklan
Iklan

"Bagi permohonan rayuan luar giliran bagi tahun haji semasa, beberapa kriteria akan diambil kira dalam proses pertimbangan merit permohonan antaranya tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan akaun TH, kekerapan permohonan rayuan serta kehadiran ke Kursus Asas Haji dikendalikan TH,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata permohonan rayuan haji terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH masing-masing.

Iklan

Kadar bayaran haji ditetapkan kepada jemaah terpilih melalui proses rayuan ialah kos haji penuh sebanyak RM33,300 bagi musim haji 1447H/2026M selaras dengan konsep istitoah (kemampuan).

"Seperti tahun sebelumnya, TH akan memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram dan pengiring jemaah lanjut usia serta jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji bagi musim haji 1447H/2026M,” katanya.

Iklan

Pendeposit boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses permohonan, semakan kategori rayuan dan status permohonan melalui aplikasi THiJARI atau laman sesawang www.thijari.com.my.

Orang ramai boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) menerusi talian 03-6207 1919 untuk pertanyaan. - Bernama