Video Trump menari di Malaysia raih lebih 21.5 juta tontonan

Iklan
Trump menari secara spontan mengikut kumpulan penari tradisional tempatan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Video yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menari semasa lawatan beliau ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan telah tular menerusi media sosial menarik lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform.

Penasihat Trump Alex Bruesewitz menyifatkan video itu mempunyai daya tarikan yang kuat sehingga meningkatkan populariti dalam media sosial.

Iklan
Iklan

"Video yang dirakam oleh @margomartin memaparkan Presiden Trump menari di Malaysia melepasi satu juta tanda suka dalam Instagram @TeamTrump dan meraih 21.5 juta tontonan. Video itu turut menerima 17.1 juta tontonan menerusi Facebook dan 9.3 juta di TikTok.

"Trump ialah pemimpin dunia dan raja media sosial,” katanya dalam hantaran X pada Isnin. 

Iklan

Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin yang menyiarkan semula hantaran Bruesewitz berkata klip itu menunjukkan Trump berinteraksi mesra dengan delegasi dan turut menari mengikut rentak muzik tempatan.

"Lapan tahun bersama dengan Presiden Trump dan mungkin inilah video kegemaran saya setakat ini,” katanya.

Iklan

Video berkenaan juga menerima pelbagai reaksi daripada pengguna X seperti @KarlDHarrison yang meninggalkan komen,"Realitinya ialah Trump menyayangi rakyat dan ia jelas kelihatan. Mereka juga menyayanginya”. 

Sementara itu, @kellyannelu menyifatkan Trump seorang yang baik hati dan klip video itu mencerminkan sikap mesra dan mudah didekati beliau.

"Beliau banyak mengembara, tetapi masih mempunyai tenaga untuk berhenti seketika dan menari dengan gembira. Perkara ini membuatkan saya tersenyum,” katanya.

Presiden AS itu tiba di sini kira-kira 10 pagi pada Ahad dan berlepas pada 10.06 pagi tadi menandakan tamatnya lawatan julung-julung kali beliau ke Malaysia dan penyertaan pertama dalam Sidang Kemuncak ASEAN sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lepas.

Trump merupakan Presiden AS ketiga dalam sejarah melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.

Malaysia memegang tampuk kepengerusian ASEAN tahun ini di bawah tema"Keterangkuman dan Kemampanan”.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga esok. - Bernama