Mohd Azani dilantik Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur

Iklan
Mohd Azani (kanan) memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas Juruiring Polis Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Azani Omar, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa Isnin.

Mohd Azani menggantikan Mohamed Usuf Jan Mohamad yang bersara wajib selepas hampir 37 tahun berkhidmat dalam pasukan Sang Saka Biru.

Iklan
Iklan

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.

Majlis berkenaan dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat diikuti penandatanganan dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Mohd Azani dan Mohamed Usuf.

Iklan

Selain itu, turut berlangsung serah terima jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) antara Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab dan Asisten Komisioner Wong Yuen Chuan, serta serah terima jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi antara Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dan Asisten Komisioner Sazalee Adam.

Fadil dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Azani atas pelantikan tersebut yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap kecekapan dan komitmen beliau dalam menerajui pasukan keselamatan.

Iklan

“Tahniah kepada Mohd Azani atas pelantikan ini, begitu juga kepada Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dan Asisten Komisioner Wong Yuen Chuan atas kenaikan pangkat masing-masing.

“Ia merupakan pengiktirafan kepada usaha gigih dan dedikasi mereka terhadap pasukan,” katanya.

Fadil memaklumkan bahawa Anuwal akan menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Anuwal atas khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang bertugas di Kontinjen Kuala Lumpur.

“Semoga segala pengalaman beliau di sini dapat diimplementasikan di tempat baharu nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie akan memulakan tugas baharu sebagai Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Saya difahamkan, sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Dang Wangi, beliau telah memberikan sepenuh komitmen dengan begitu cemerlang.

“Saya berbangga kerana mempunyai seorang Ketua Polis Daerah yang sentiasa mengamalkan nilai kejujuran dan keikhlasan serta berusaha meningkatkan keilmuan dan semangat kerja berpasukan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pelantikan baharu ini akan memperkukuh kecekapan organisasi dan menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Dengan pengalaman luas yang dimiliki, saya percaya barisan kepimpinan baharu ini dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang di Kontinjen Kuala Lumpur yang penuh cabaran,” ujarnya.