KUALA LUMPUR - ASEAN bersama tiga negara rakan iaitu China, Jepun dan Korea Selatan perlu meneruskan usaha menubuhkan Rizab Bekalan Perubatan ASEAN Campur Tiga bagi Kecemasan Kesihatan Awam (APTRMS) dalam menghadapi sebarang kecemasan kesihatan awam pada masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan rizab bekalan perubatan itu penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan rantau ini, selain memastikan kerjasama serantau terus menjadi benteng dalam menangani ancaman kesihatan berskala besar seperti pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Pengalaman ASEAN Campur Tiga menunjukkan bahawa cabaran bersama boleh ditukar menjadi kekuatan.
“Kita mesti menggandakan usaha memperkukuh penglibatan dan kerjasama kerana ia kekal sebagai kunci kepada kestabilan,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28, pada Isnin.
Sidang tersebut dihadiri Menteri Luar Negeri Jepun, Motegi Toshimitsu; Perdana Menteri China, Li Qiang; dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sejak ditubuhkan hampir tiga dekad lalu, ASEAN Campur Tiga kekal sebagai platform paling kukuh dalam memperkukuh dialog dan kerjasama serantau, termasuk ketika menghadapi krisis kewangan 2008 dan pandemik global baru-baru ini.
Perdana Menteri turut menegaskan keperluan memastikan pertumbuhan ekonomi yang adil serta kemakmuran dikongsi secara menyeluruh, sekali gus membawa keamanan kepada seluruh rantau Asia Timur.
“Kita mesti mempersiapkan golongan belia dan wanita untuk masa depan Asia Timur yang mampan, inklusif dan saling berhubung,” ujarnya.