PENYERANG Brighton, Danny Welbeck mengakui skuad Manchester United yang mereka hadapi kali ini merupakan pasukan terbaik pernah ditentangnya sejak beberapa musim lalu selepas kekalahan 2-4 di Old Trafford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam perlawanan tersebut, United meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga iaitu kali pertama sejak Februari 2024.
Menurut Welbeck, United kini tampil lebih tersusun dan berdisiplin di bawah bimbingan Ruben Amorim.
“Ini adalah pasukan Manchester United terbaik yang kami hadapi dalam tempoh agak lama. Mereka sangat tersusun, berstruktur dan mempunyai pemain berkualiti. Hari ini mereka benar-benar menghukum kesilapan kami.
“Kami agak kecewa kerana pada awal permainan kami menguasai perlawanan, tetapi beberapa kesilapan kecil membawa padah. Apabila berdepan pasukan berkualiti seperti United, mereka akan menghukum setiap kesilapan.
“Kami menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun dalam kedudukan sukar. Kami berjaya menjaringkan dua gol dan hampir mendapat gol ketiga, namun tidak kesampaian,” katanya.
Pemain baharu United, Matheus Cunha membuka jaringan pada separuh masa pertama sebelum sepakan Casemiro yang terkena pertahanan lawan menambah gol kedua. Bryan Mbeumo kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-60, namun Brighton bangkit lewat permainan menerusi jaringan Welbeck dan Charalampos Kostoulas bagi merapatkan jurang.
Bagaimanapun, Mbeumo memastikan kemenangan mutlak buat tuan rumah selepas meledak gol keempat pada masa kecederaan.