Lima sidang utama warnai hari kedua diplomasi ASEAN

Iklan
Tunku Nashrul

KUALA LUMPUR - Agenda hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Isnin menyaksikan Malaysia meneruskan peranan diplomasi serantau melalui lima lagi mesyuarat utama bersama rakan strategik.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, persidangan tersebut akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju kerjasama ekonomi dan keselamatan di rantau ini.

Iklan
Iklan

“Hari ini kita ada Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea, ASEAN Plus Three, ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sidang Kemuncak Asia Timur serta Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya pada Isnin.

Menurut beliau, perbincangan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam transformasi digital, peralihan tenaga bersih, kestabilan geopolitik dan ketahanan rantaian bekalan serantau.

Iklan

“ASEAN perlu terus dilihat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan pemacu kestabilan strategik di Indo-Pasifik,” jelasnya.

Mengulas perjalanan sidang semalam, beliau berkata, hari pertama berjalan lancar serta menyaksikan pencapaian penting buat Malaysia dan ASEAN.

Iklan

“Perdana Menteri mempengerusikan lima sidang kemuncak utama termasuk bersama Amerika Syarikat, Jepun dan India. Ia menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan strategik dengan rakan dialog,” ujarnya.

Dalam pada itu, sejarah turut terbentuk apabila Timor-Leste diterima sebagai anggota ASEAN ke-11, satu detik yang disifatkan Malaysia sebagai kejayaan perjuangan serantau.

“Malaysia konsisten menyokong penyertaan Timor-Leste sejak sekian lama melalui latihan dan pengukuhan kapasiti,” katanya lagi.

Pada masa sama, Malaysia turut memainkan peranan utama dalam memeterai Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja.

“Ini titik permulaan kepada penamatan pertikaian mereka dan membolehkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan perdamaian,” tegasnya.

Selain itu, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin antarabangsa hari ini sebelum menghadiri majlis makan malam gala ASEAN pada sebelah malam.

Tunku Nashrul berkata, Malaysia akan terus mengalas amanah kepimpinan ASEAN dengan penuh tekad.

“Kita komited memperkukuh perpaduan serantau serta memastikan setiap kerjasama membawa manfaat kepada rakyat Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berharap semua sidang pada hari ini berjalan lancar serta membuahkan hasil bermakna kepada pembangunan dan kemakmuran bersama rantau ini.