Maaf, tiada lagi bayar saman bermusim

Iklan
Bermula 1 Januari tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan struktur baharu pembayaran saman berasaskan prinsip ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.

BERMULA 1 Januari tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan struktur baharu pembayaran saman berasaskan prinsip ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.

Pendekatan itu memberi insentif kepada pengguna jalan raya untuk melunaskan saman lebih awal dengan menikmati potongan tertentu.

Iklan
Iklan

Bagi pembayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari, potongan diberikan sebanyak 50 peratus. Bayaran dibuat antara 16 hingga 30 hari layak mendapat pengurangan 33 peratus, manakala selepas 31 hingga 60 hari tiada diskaun dikenakan.

Sekiranya melebihi 60 hari, individu terbabit bukan sahaja hilang kelayakan diskaun, malah boleh dikenakan tindakan mahkamah atau disenarai hitam.

Iklan

Langkah baharu itu bukan sekadar menggalakkan pembayaran segera tetapi turut mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap undang-undang jalan raya.

Membayar saman awal bukan sahaja menjimatkan wang, bahkan dapat mengelak masalah sampingan seperti sekatan lesen, kesukaran memperbaharui cukai jalan atau rekod buruk dalam sistem penguatkuasaan.

Iklan

Dengan pelaksanaan sistem baharu itu, tawaran diskaun saman bermusim yang sering dinantikan sebelum ini akan dimansuhkan. Walaupun keputusan tersebut mungkin mengecewakan segelintir pihak, ia dilihat sebagai langkah tegas bagi memastikan masyarakat tidak lagi mengambil mudah kesalahan lalu lintas.

Sebagai cadangan daripada suara rakyat, mungkin wajar dipertimbangkan semula diskaun berskala kecil antara 10 hingga 15 peratus, khusus bagi kesalahan ringan seperti kesalahan meletakkan kenderaan atau lesen tamat tempoh.

Pendekatan itu mampu meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang mungkin tidak mampu membuat bayaran segera dalam tempoh singkat.

Apa pun, rakyat tidak boleh bergantung kepada kelonggaran semata-mata. Tanggungjawab mematuhi peraturan jalan raya harus datang daripada kesedaran diri. Setiap pemandu perlu memahami bahawa setiap saman bukan sekadar hukuman tetapi peringatan tentang pentingnya keselamatan.

Kesimpulannya, prinsip baharu ‘Bayar Saman Awal, Lebih Jimat’ ialah satu langkah bijak ke arah membentuk masyarakat lebih bertanggungjawab, beretika dan menghormati undang-undang.

Jalan raya yang selamat bermula daripada sikap kita sendiri.