Pelanggan tanggung kerugian, bank dan telco lepas tangan

Iklan
Kerajaan disaran melaksanakan tindakan undang-undang yang lebih tegas dalam menangani jenayah perbankan agar institusi kewangan dan telco turut menanggung risiko serta kerugian dialami pelanggan.

SHAH ALAM - Kerajaan disaran melaksanakan tindakan undang-undang yang lebih tegas dalam menangani jenayah perbankan agar institusi kewangan dan telco turut menanggung risiko serta kerugian dialami pelanggan.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa), Samsudin Awang berkata, negara di Eropah seperti United Kingdom telah melaksanakan undang-undang sedemikian yang mewajibkan institusi perbankan dan telco membayar pampasan kepada orang ramai yang menjadi mangsa penipuan perbankan akibat kecuaian pihak bank.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Malaysia wajar mencontohi pendekatan itu agar rakyat terus yakin dengan sistem perbankan negara.

“Institusi perbankan dan telco wajar dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka juga bertanggungjawab secara mutlak dalam melindungi data perbankan dan data peribadi pelanggan.

Iklan

“Ketika ini, hanya pelanggan yang menanggung implikasi apabila wang dicuri melalui kaedah perbankan dalam talian, sedangkan pihak bank dan syarikat telekomunikasi tidak menanggung sebarang kerugian.

“Walhal mereka yang bertanggungjawab penuh terhadap infrastruktur perbankan dalam talian seperti nombor telefon, SMS OTP, aplikasi perbankan dan pangkalan data pengguna,” katanya.

Iklan

Tambah Samsudin, kejayaan penjenayah siber melarikan wang melalui transaksi dalam talian membuktikan kegagalan bank menapis dan menyekat transaksi mencurigakan atau tidak sah.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan kelemahan sistem keselamatan perbankan dan tidak wajar orang ramai sahaja yang menanggung kerugian, manakala bank dan telco melepaskan tanggungjawab.

“Adalah sangat tidak adil apabila bank dan telco membuat keuntungan atas transaksi dan wang simpanan orang ramai, tetapi apabila berlaku kerugian atau risiko, hanya pelanggan yang menanggungnya,” katanya.