Remaja 15 tahun maut kemalangan, dirempuh dua motosikal

Iklan
Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan motosikal ditunggang mangsa berusia 15 tahun terbabas sebelum dilanggar dua motosikal lain dalam kemalangan di Kilometer 21 Kesas, Klang pada Ahad.

KLANG - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dilanggar dua motosikal lain di Kilometer 21 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 3.35 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan terjadi apabila sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di tengah jalan.

"Selepas kejadian tersebut mangsa telah tercampak di lorong kanan sebelum dirempuh dua motosikal lain yang datang dari arah sama.

Iklan

"Akibat dari kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua penunggang motosikal terbabit dipercayai telah melarikan diri sejurus kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis menyeru semua individu terbabit dan saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Iklan

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, polis menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak mereka dan mengetahui keberadaan serta memastikan agar tidak terdedah dengan gejala sosial negatif.

"Polis menasihati semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu dan mematuhi peraturan had laju ditetapkan," ujarnya.