LHDN juara Joran Kewangan MKSAKK

Iklan
Barisan pemenang Pertandingan Memancing Joran Kewangan anjuran MKSAKK yang berlangsung di Kolam Sea Lion, Pelabuhan Klang pada Sabtu.

PELABUHAN KLANG – Pasukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuktikan ketangkasan dan strategi apabila muncul juara keseluruhan Pertandingan Memancing Joran Kewangan anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan (MKSAKK) yang berlangsung di Kolam Sea Lion di sini pada Sabtu.

Kejayaan itu diraih selepas pasukan berkenaan yang diwakili 35 pemancing berjaya menaikkan 28 ekor ikan, sekali gus menewaskan 11 agensi lain yang turut bersaing dalam acara tahunan yang penuh meriah itu.

Iklan
Iklan

Di tempat kedua ialah pasukan Kementerian Kewangan (MOF) dengan 24 tangkapan, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di tempat ketiga selepas menaikkan 20 tangkapan.

Pertandingan Memancing Joran Kewangan merupakan acara tahunan yang bertujuan mengukuhkan silaturahim dan semangat kesukanan antara warga pelbagai agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Iklan

Dengan kemenangan itu, LHDN membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, diikuti MOF (RM2,500) dan JKDM (RM1,500).

Hadiah disampaikan oleh Setiausaha Agung MKSAKK, Hisham Affnizam, dengan disaksikan oleh Setiausaha Kehormat MKSAKK, Sharifah Saidatul Balkieh, serta Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Hamkhusairi Jahari.

Iklan

Pertandingan yang dianjurkan oleh KWAP itu turut disertai Bank Simpanan Nasional (BSN), Bursa Malaysia, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kategori individu, Ahmad Raji Abdul Malik dari LHDN dinobatkan sebagai juara ikan terberat selepas menaikkan ikan senangin seberat 2.665 kilogram, sekali gus membawa pulang RM1,000.

Tempat kedua dimenangi oleh Zulfazly Abdul Aziz (SC) dengan tangkapan ikan senangin seberat 2.24 kilogram yang meraih RM800, manakala Aidil Haikal Hassan (JKDM) di tempat ketiga dengan ikan kaci seberat 2.2 kilogram membawa pulang RM400.

Bagi kategori ikan terpantas, dua peserta berkongsi hadiah RM200 selepas masing-masing berjaya menaikkan ikan tepat jam 9 pagi iaitu Mohamad Azri Abu Hassan (MOF) dengan ikan merah seberat 800 gram dan Mohd Kasyfullah Abd Rahman (PIDM) dengan ikan jenahak seberat 490 gram.

Sementara itu, Muhammad Irwan Romainor (BNM) dinobatkan sebagai pemenang kategori ikan terakhir selepas menaikkan ikan merah seberat 0.530 kilogram tepat jam 1 tengah hari, sekali gus membawa pulang RM200.

MKSAKK menerusi satu kenyataan memaklumkan, pertandingan memancing itu merupakan acara tahunan yang bertujuan mengukuhkan silaturahim dan semangat kesukanan antara warga pelbagai agensi di bawah Kementerian Kewangan.

“Setiap tahun, penganjuran diamanahkan kepada agensi berbeza bagi memastikan kesinambungan dan keterlibatan menyeluruh,” jelas MKSAKK.