KULAI – [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di kilometer (KM) 48.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 11.40 pagi melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha dengan kereta jenis Perodua Myvi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ), Muhammad Ariff Haron,33, melanggar bahagian belakang kereta Perodua Myvi berkenaan.
“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dalam masa sama, pemandu kereta, seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu Seng Lee berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh menghubungi pengawai penyiasat yang juga Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa di talian 011-26081008 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.