LIVERPOOL terus dirundung malang apabila tewas 2-3 kepada Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus merekodkan kekalahan keempat berturut-turut musim ini.
Aksi di Stadium Gtech Community itu menyaksikan skuad bimbingan Arne Slot dikejutkan seawal minit kelima menerusi jaringan voli Dango Ouattara hasil lontaran jauh, sebelum Kevin Schade menambah derita pelawat dengan gol kedua pada minit ke-45.
Milos Kerkez sempat merapatkan jurang buat Liverpool pada masa tambahan babak pertama apabila menyempurnakan hantaran silang Conor Bradley untuk menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu.
Namun, kebangkitan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila Igor Thiago kembali melebarkan kedudukan kepada 3-1 buat Brentford selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60.
Mohamed Salah cuba menghidupkan peluang dengan jaringan lewat minit ke-89, tetapi usaha itu tidak cukup untuk menyelamatkan The Reds daripada kekalahan.
Kekalahan ini menyaksikan Liverpool kali pertama tewas empat perlawanan liga berturut-turut sejak tahun 2021, dengan tiga daripadanya berlaku di London termasuk ketika menentang Crystal Palace dan Chelsea.
Selain itu, skuad juara bertahan itu kini gagal mencatat sebarang ‘clean sheet’ dalam sembilan perlawanan terakhir di semua kejohanan, dan jatuh ke tangga keenam liga dengan 15 mata, empat mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Brentford pula melonjak ke tangga ke-10 selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut, hanya dua mata di belakang Liverpool.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mengakui seluruh pasukan perlu bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi semasa.
“Semua orang, termasuk saya sendiri, perlu melihat diri masing-masing. Kami pasti akan keluar daripada situasi ini, tetapi bukan dengan hanya bercakap. Kami perlukan sokongan antara satu sama lain, termasuk penyokong yang pernah meraikan kejayaan bersama kami tahun lalu. Dengan kualiti yang ada, kami akan bangkit semula,” katanya.