Johor nekad tebus kecewa final 2024

Iklan
Syarif Nurhidayat semasa aksi menentang Terengganu dalam aksi peringkat Kumpulan B. Foto: PERSATUAN RAGBI NEGERI TERENGGANU

JOHOR nekad menebus kekecewaan musim lalu apabila turun menentang PDRM dalam final Piala Agong pada Ahad dengan semangat juang dan kekuatan hati menjadi sandaran utama pasukan kali ini.

Kapten skuad Johor, Syarif Nurhidayat Muzhaimey, menegaskan kejayaan bukan sekadar ditentukan oleh strategi di atas kertas, sebaliknya lahir daripada kesepaduan dan semangat sepasukan yang kental.

Iklan
Iklan

“Kekuatan Johor tahun ini terletak pada hati kami semua sebagai satu pasukan. Kami akan berjuang habis-habisan kerana tekad kami hanya satu membawa pulang semula Piala Agong ke Johor,” katanya kepada Sukan Sinar.

Johor mara ke pentas final selepas mencatat kemenangan tipis 35-34 ke atas Perlis di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, manakala PDRM menempah tiket final selepas menewaskan Kelantan 40-30 di padang Pulapol, Kuala Lumpur.

Iklan

Sementara itu, Kuala Lumpur dan Perlis akan berentap di venue sama bagi perebutan tempat ketiga terbaik.

Syarif Nurhidayat menambah, pengalaman beraksi di pentas akhir tahun lalu menjadi pengajaran besar buat skuad selatan tanah air untuk tampil lebih tenang dan tersusun kali ini.

Iklan

“Saya dan semua rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya. Harapan kami agar dapat memberikan persembahan terbaik dan menjulang kejuaraan tahun ini,” ujarnya.

Perlawanan akhir di Arena UM, Ahad ini bakal menjadi ulang tayang final musim lalu yang menyaksikan PDRM menundukkan Johor 43-29 di Stadium UiTM, Shah Alam.

INFO

FINAL PIALA AGONG 2025

26 Oktober (Ahad)

PDRM lwn Johor

(Stadium UM Arena, Universiti Malaya, 4.30 petang)