Mangsa banjir di Kedah terus meningkat, satu lagi PPS baharu dibuka di Pendang

Iklan
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memindahkan mangsa banjir ke PPS berdekatan di Pokok Sena.

ALOR SETAR - Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Pendang menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,562 orang daripada 488 keluarga setakat jam 5 petang Sabtu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataannya berkata, jumlah itu bertambah berbanding 1,528 mangsa daripada 484 keluarga yang direkodkan sekitar jam 12 tengah hari pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebuah PPS di Kuala Muda telah ditutup sepenuhnya pada 3 petang Sabtu, iaitu PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng di Tanjung Dawai yang menempatkan 52 mangsa banjir akibat air pasang besar di Kampung Huma.

Orang ramai terpaksa menaiki bot ke PPS susulan beberapa kawasan terputus hubungan akibat banjir.

Iklan

"PPS baharu yang dibuka di daerah Pendang ialah di Dewan Badminton Tanjung Radin pada jam 2 petang Sabtu menempatkan tiga mangsa daripada sebuah keluarga.

"Sehingga kini 15 PPS di empat daerah iaitu Baling, Pokok Sena, Pendang dan Kulim masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir," katanya.

Iklan

Sementara itu, KULIM masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,146 mangsa daripada 346 keluarga berbanding 1,127 mangsa daripada 342 keluarga sebelum ini.

“PPS yang dibuka di daerah ini adalah Surau Taman Sang Kancil, PPS Dewan Kampung Paya Tok Betok, PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Isaniah Jangkang, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh, PPS SRJ (C) Khi Min, PPS Dewan Orang Ramai Sungai Karangan, PPS Surau Padang Meha dan PPS SK Merbau Pulas.

“Kesemua mangsa yang dipindahkan ke lapan PPS di Kulim adalah dari Kampung Seberang Sungai; Kampung Paya Tok Betok; Kampung Seberang Jaya; Kampung Kemuting; Kampung Banggol Penyengat; Kampung Manggis; Kampung Baru; Kampung Sungai Karangan dan Kampung Kuala Benut,” katanya.

Di BALING, lima PPS beroperasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, SK Seri Bayu; Dewan Tun Abdul Razak (lama); Kompleks Belia dan Sukan serta SK Sri Jemeli menempatkan keseluruhan mangsa banjir seramai 340 mangsa daripada 118 keluarga.

Jumlah itu meningkat berbanding 297 mangsa daripada 97 keluarga di daerah itu pada tengah hari Sabtu.

Kesemua mangsa banjir terdiri daripada penduduk dari mukim Siong dan Bongor, iaitu Kampung Siput; Depan SK Siong; Kampung Cenerai; Kampung Baru; Kampung Bendang Sera; Kampung Haji Abas; Kampung Lubuk Pedati; Kampung Seberang Market Lama; Kampung Lahar; Kampung Tepi Masjid Baru dan Kampung Batu 48.

Penduduk di Padang Serai dinasihatkan berpindah ke PPS berdekatan sekiranya rumah mereka dinaiki air.

Di POKOK SENA, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Pokok Sena menempatkan seramai 73 mangsa daripada 23 keluarga berbanding 85 mangsa daripada 26 keluarga dari Taman Puteri, Gajah Mati.

Di PENDANG pula tiga mangsa ditempatkan daripada sebuah keluarga di PPS Dewan Badminton Tanjung Radin.

Setakat ini, tujuh daerah termasuk Sik, Bandar Baharu dan Kubang Pasu turut terjejas akibat banjir namun hanya empat daerah membuka PPS setakat ini.

Menurut kenyataan itu lagi, lima sungai di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya - dua di Pendang iaitu Sungai Pendang dan Sungai Titi Kerbau manakala masing-masing satu di Kubang Pasu (Sungai Laka), Baling (Sungai Ketil) dan Padang Terap (Sungai Perik).