SEREMBAN - Penduduk Taman Pinggiran Senawang di sini melahirkan kebimbangan terhadap kehadiran anjing liar yang didakwa menyerang haiwan peliharaan dan ternakan di kawasan itu.
Seorang penduduk, Dani Danial mendakwa, haiwan berkenaan kerap mengganggu kediaman penduduk dan kali terakhir kejadian berlaku pada lewat malam Khamis.
Menurutnya, anjing liar itu dikatakan memasuki rumah, memecahkan sangkar dan membunuh burung serta ayam peliharaannya.
“Anjing liar makin banyak buat hal dekat Taman Pinggiran Senawang ni. Dulu kesian la juga tapi semalam jam 3 pagi masuk lagi rumah buat kecoh.
"Pecahkan sangkar, bunuh burung dan ayam dipelihara. Buat aduan pun tak jalan,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Dani berharap masalah itu dapat diselesaikan segera oleh pihak berwajib kerana bimbang mengambil tindakan melupus sendiri haiwan berkenaan.
Dalam pada itu, perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang turut meluahkan rasa kesal apabila mendakwa aduan mereka sebelum ini tidak mendapat maklum balas memuaskan.
“Ada anjing beranak-pinak dekat kawasan rumah. Hari-hari telefon pihak berkuasa tempatan (PBT) suruh tangkap anjing tapi tiada maklum balas.
"Akhirnya kami cuba hubungi NGO haiwan, tapi mereka pula suruh rujuk balik kepada PBT. Masalah masih tak selesai,” dakwa Danish Yusof.
Seorang lagi pengguna, Sitifyzam turut menyatakan rasa tidak senang dengan kehadiran anjing liar yang disifatkannya sebagai ancaman terhadap keselamatan keluarga.
“Anak saya pergi kedai naik basikal, kena kejar dengan anjing liar sampai jatuh dan luka. Nasib baik ada orang halau, kalau tak... tak tahu la,” katanya.