IPOH – Keputusan analisis sampel air yang diambil di hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik susulan perubahan warnanya yang menjadi kebiruan dijangka diketahui pada Isnin ini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, siasatan sedang dijalankan oleh beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Saya akan kumpulkan keseluruhan keputusan daripada agensi-agensi yang terlibat dan berharap dapat membentangkan laporan menyeluruh pada Isnin ini.
"Buat masa ini, keadaan air yang jernih itu sudah tiada, namun siasatan tetap diteruskan bagi mengenal pasti dari mana puncanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Green Tech Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Kok Lim berkata, berdasarkan laporan awal kejadian tersebut merupakan kali pertama dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.
"Setakat ini aduan hanya melibatkan air yang kelihatan jernih luar biasa.
"Ada kemungkinan ia berpunca daripada limpahan air yang berlebihan di kawasan berdekatan,” katanya.
Pada Selasa lalu, tular di media sosial mengenai perubahan warna air di hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik yang menjadi biru seperti air laut.
Perubahan warna itu didakwa berpunca daripada kegiatan perlombongan di kawasan bukit berhampiran hulu Sungai Rui yang merupakan salah satu anak sungai membentuk lembangan Sungai Perak.
Sinar Harian pada 22 Oktober lalu melaporkan rekod pemantauan Indeks Kualiti Air (WQI) Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik yang tular kerana bertukar kebiruan menunjukkan tahap baik menandakan air bersih dan bebas pencemaran.
Pengarah JAS Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, data pemantauan terkini bertarikh 9 Oktober itu menunjukkan WQI berada pada skor 93 iaitu dalam julat Kelas I hingga IIA.
Bagaimanapun menurutnya, ujian persampelan air akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar perubahan warna tersebut.