Suspek tetak positif dadah direman tujuh hari

Iklan
Suspek dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman pada Sabtu.

PASIR MAS - Seorang lelaki direman tujuh hari bermula Sabtu di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki yang dipercayai ditetak bertubi-tubi sehingga maut dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat pada Jumaat.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie ketika dihubungi berkata, saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek dikatakan bekerja sendiri dan mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa. Isterinya merupakan sepupu kepada mangsa.

Iklan

"Kita tidak menolak kemungkinan kes ini bermotif dendam namun siasatan lanjut masih lagi dijalankan," katanya.

Sinar Harian melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah di sini pada Jumaat.

Iklan

Mangsa, Mohd Suhairi Hasim,46, bapa kepada dua orang anak yang merupakan pemandu jengkaut ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.