Rekod terburuk West Ham dalam 52 tahun

Iklan
Nuno

KEMPEN hambar West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) terus menghantui skuad The Hammers selepas tunduk 1–2 kepada Leeds United di Stadium Elland Road, Sabtu, sekali gus merekodkan permulaan terburuk The Hammers dalam tempoh 52 tahun.

Kekalahan itu menjadi tamparan ketiga berturut-turut buat anak buah Nuno Espirito Santo yang masih buntu memburu kemenangan sejak mengambil alih tugas daripada Graham Potter pada September lalu.

Iklan
Iklan

Kini menduduki tangga ke-19 liga, West Ham sekadar mencatat satu kemenangan musim ini ironinya ketika menewaskan Nottingham Forest, pasukan yang pernah dibimbing Nuno ketika di City Ground.

Lebih memeritkan, kutipan empat mata selepas sekian lama musim bermula menyamai rekod terburuk kelab itu pada 1932/33 dan 1973/74, kedua-duanya berakhir dengan mereka menghuni tangga tercorot liga.

Iklan

Dibawa masuk untuk memastikan The Hammers tidak kembali ke divisyen bawahan buat kali pertama sejak musim 2011/12, Nuno kini dilihat bergelut untuk mengembalikan keyakinan pemainnya walaupun sempat memungut satu mata ketika aksi sulung menentang Everton.

“Terlalu banyak masalah dalam kelab ini, tetapi kami tidak boleh bersembunyi di sebaliknya.

Iklan

“Semua perlu bangkit, sedar tanggungjawab dan berikan lebih daripada apa yang dilakukan sekarang,” ujar pengendali dari Portugal itu.

Menurutnya, kelemahan bertahan dan ketiadaan penyerang yang mampu menahan bola di depan menjadi punca utama kelembapan permainan pasukannya.

“Kami gagal menguruskan situasi bertahan dengan baik dan saya juga rasa kami perlukan penyerang yang mampu menahan bola. Mungkin itu kesilapan saya. Kesilapan seperti ini tidak boleh berlaku di Liga Perdana,” katanya lagi.

Nuno turut menjadi pengendali pertama West Ham yang gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan pertama EPL sejak era Manuel Pellegrini pada 2018.

“Saya tahu pasukan ini punya kualiti dan masa masih ada, tapi tiada apa akan berubah jika kami tidak ubah sikap. Kami mesti ubah pendekatan, cara berlatih dan tahap komitmen

“Realitinya, tiada perubahan akan berlaku dengan sendiri. Menganggap masih banyak masa hanya akan menjerat kami jika tidak segera bangkit memperbetulkan keadaan,” tambahnya.