PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menegaskan perubahan besar dalam skuad The Reds musim ini menuntut masa untuk membina semula keserasian antara pemain menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech pada Sabtu.
Slot mengakui barisan pemainnya masih mencari keseimbangan taktikal selepas melalui tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan, sambil menegaskan pasukan perlu cepat menyesuaikan diri dengan gaya permainan lawan yang semakin banyak berubah.
“Dalam tujuh perlawanan pertama, kami berdepan 178 hantaran jauh yang perlu dipatahkan, dan ketika menentang United baru-baru ini, jumlah itu menurun kepada 59.
“Ia situasi yang amat berbeza berbanding separuh pertama musim lalu,” kata Slot.
Menurut pengendali dari Belanda itu, kunci utama untuk menembusi pasukan lawan yang gemar bertahan rapat kini terletak pada momen kebijaksanaan individu atau gerakan bola mati yang berkesan.
“Cara terbaik membuka benteng lawan adalah melalui momen magis seperti yang kami peroleh musim lalu kebanyakannya hasil sentuhan Mo Salah atau menerusi set piece, seperti dua gol sepakan sudut ketika menentang Frankfurt,” jelasnya.
Slot turut menjernihkan kenyataannya sebelum ini mengenai taktikal Manchester United yang disalah tafsir media.
“Sebenarnya saya memuji pengurus mereka, Ruben Amorim, kerana berjaya mencari formula terbaik menentang gaya permainan kami. Tapi nampaknya orang mentafsirnya dengan cara lain,” katanya.
Dalam masa sama, Slot mengesahkan penyerang utama, Alexander Isak, mungkin terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika membantu Liverpool menumpaskan Eintracht Frankfurt 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu.
“Kecederaannya tidak terlalu serius, tapi kami perlu menilai perkembangannya menjelang hari perlawanan,” ujarnya.
Turut menambah kebimbangan ialah Ryan Gravenberch yang masih belum pulih daripada masalah buku lali, manakala Alisson Becker serta Jeremie Frimpong disahkan terus diketepikan kerana kecederaan berpanjangan.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (25 OKTOBER)
KEPUTUSAN
Leeds United 1-2 West Ham United,
PERLAWANAN
Chelsea lwn Sunderland
(Stdm Stamford Bridge, 10 malam)
Newcastle United lwn Fulham
(Stdm St James's Park, 10 malam)
AHAD (26 OKTOBER)
Manchester United lwn Brighton
(Stdm Old Trafford, 12.30 malam)
Brentford lwn Liverpool
(Stdm Komuniti Gtech, 3 pagi)
Wolverhampton lwn Burnley
(Stdm Molineux, 10 malam)
Arsenal lwn Crystal Palace
(Stdm Emirates, 10 malam)
Aston Villa lwn Manchester City
(Stdm Villa Park, 10 malam)
Bournemouth lwn Nottingham Forest
(Stdm Vitality, 10 malam)
ISNIN (27 OKTOBER)
Everton lwn Tottenham Hotspur
(Stdm Hill Dickinson, 12.30 tengah pagi)