PENYERANG Barcelona, Marcus Rashford mengakui mahu kekal bersama kelab gergasi La Liga Sepanyol itu selepas tempoh pinjamannya dari Manchester United tamat.
Rashford malah menyifatkan perpindahan ke Camp Nou sebagai perubahan yang dia perlukan selepas menghabiskan seluruh karier di England.
Barcelona kini menanggung gaji Rashford sepanjang tempoh pinjaman semusim itu, dengan klausa pilihan pembelian kekal sekitar €30 juta (RM155 juta).
Biarpun masih terikat kontrak bersama United hingga 2028, masa depan Rashford di Old Trafford semakin kabur selepas hubungannya dengan pengendali Ruben Amorim dingin sejak tahun lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu kini kembali menemui rentak di bawah kendalian pengendali Barcelona, Hansi Flick, dengan catatan lima gol dan enam bantuan jaringan dalam 12 penampilan setakat ini.
“Sudah tentu (saya mahu kekal). Saya menikmati suasana di kelab ini dan bagi sesiapa yang mencintai bola sepak, Barcelona adalah antara kelab paling bersejarah dalam dunia bola sepak. Sebagai pemain, ia satu penghormatan,” katanya.
Rashford yang mula mengembalikan prestasi ketika dipinjamkan ke Aston Villa musim lalu, kini dilihat semakin matang dan tenang menjelang penampilan sulungnya dalam El Clasico di Stadium Santiago Bernabeu.
“Orang kadang-kadang terlupa, saya habiskan lebih 20 tahun hidup bersama Manchester United.
“Kadang-kadang kita cuma perlukan perubahan. Mungkin itu yang berlaku pada saya, dan kini saya menikmati setiap detiknya,” katanya.