Cubaan seludup 10 tan beras putih import gagal

Iklan
PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup 10 tan beras putih import di Jalan Kasban Kampung Nibong, Simpangan, Tumpat pada Khamis. Foto: PPM Wilayah Tiga

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup 10 tan beras putih import di Jalan Kasban Kampung Nibong, Simpangan di sini pada Khamis.

Rampasan tersebut dilakukan jam 10.30 malam selepas menahan sebuah lori semasa penugasan Op Taring Landai.

Iklan
Iklan

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit telah menjumpai 200 kampit beras putih import seberat 50 kg setiap beg.

"Beras tersebut baru dipunggah naik ke lori tersebut dan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Iklan

"Walau bagaimana pun beberapa orang suspek telah meloloskan diri melalui semak samun dengan meninggalkan kenderaan selepas menyedari kehadiran kami," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut beliau, anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM190,000.

Iklan

Ujarnya, kes dirujuk kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negara dan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Zulafendy memberitahu, PPM Wilayah Tiga terus komited membanteras aktiviti penyeludupan demi menjaga keselamatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

"Kami juga mengalu-alukan penyaluran maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan dari orang ramai dengan menghubungi Bilik Gerakan Markas PPM Kuantan di talian 09-5137726 atau melalui email, gerakanw3@gmail.com," katanya.