Siasatan terhadap Jho Low tidak pernah ditutup

Iklan
Mohd Khalid, Jho Low

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low masih diteruskan sehingga kini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap individu itu belum ditutup dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut keperluan siasatan.

Iklan
Iklan

"Pihak polis sentiasa meneliti perkembangan terkini berkaitan kes ini.

“Isu ini tidak perlu dibincangkan secara terbuka kerana tindakan masih lagi seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan perkembangan siasatan terhadap Jho Low.

Pada September lalu, media melaporkan agensi penguat kuasa undang-undang antarabangsa sedang berusaha mengesan dan membawa pulang dalang utama yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu untuk menghadapi pertuduhan di negara ini.

Iklan

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu dilaksanakan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang komited bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa.

JSJK juga memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada bukti sahih yang mengaitkan Jho Low dengan penggunaan pasport palsu atau keberadaannya di Shanghai, China seperti didakwa dalam laporan media.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Jho Low kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu.