BEIRUT - Dua orang terbunuh manakala dua lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah bandar di selatan Lubnan pada Khamis, lapor Agensi Berita Qatar (QNA) memetik sumber tempatan.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan serangan udara itu menyasarkan bandar Arabsalim di wilayah al-Tuffah, selatan Lubnan, menyebabkan seorang pemuda dan seorang wanita terbunuh serta dua yang lain cedera.
Beberapa siri serangan udara Israel turut menyasarkan beberapa kawasan di daerah Baalbek di Lembah Bekaa timur Lubnan pada hari yang sama, mengakibatkan dua lagi mangsa terbunuh manakala beberapa yang lain cedera.
Perjanjian gencatan senjata di Lubnan berkuat kuasa pada 27 November lalu menetapkan pengunduran pasukan Israel dari kampung dan bandar di sempadan selatan dalam tempoh 60 hari.
Kerajaan Lubnan kemudiannya bersetuju melanjutkan tempoh itu hingga 18 Februari, namun tentera Israel masih kekal di lima lokasi dan terus mencabuli gencatan senjata. - Bernama-QNA