IPOH - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melakukan pelepasan air di Alur Limpah Utara dengan kadar semasa 300 cusec bagi mengimbangi paras air susulan hujan berterusan melanda beberapa kawasan di daerah Kerian sejak beberapa hari lalu.
Dalam notis yang dikongsi, JPS memaklumkan, langkah pelepasan itu dilakukan sebagai langkah kawalan bagi mengelak risiko limpahan besar di kawasan rendah berhampiran sistem saliran utama.
“Sekiranya hujan berterusan, kekuatan pelepasan air akan dinaikkan kepada 1,000 cusec,” katanya.
JPS turut memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan rendah sekiranya paras air meningkat mendadak selepas pelepasan dilakukan.
Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Parit Air Hitam 2, Parit Air Hitam 3, Parit Mat Keling, Parit Ali Kalang, Batu 38, Tebuk Panchor, Alor Setanggok dan Ban Abu Hassan.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan berkenaan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.
Pihak JPS serta agensi keselamatan dilaporkan terus memantau keadaan semasa paras air di semua lokasi berisiko bagi memastikan sebarang tindakan segera dapat diambil jika keadaan bertambah buruk.
Setakat malam ini, dua daerah di Perak dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak pagi membabitkan daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.