Enam ditahan bantu siasatan kes bunuh warga Bangladesh

Iklan
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian bunuh. Foto tular

YAN - Polis menahan enam lelaki termasuk dua warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Teroi di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah berkata, kejadian dipercayai berpunca dari pergaduhan antara mangsa dan rakan sekerjanya yang juga lelaki tempatan berusia 42 tahun, kira-kira jam 1 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati pertengkaran tercetus apabila pengadu menegur mangsa berusia 37 tahun itu kerana lewat ke tempat kerja sebelum berlaku pergelutan di ruang tamu rumah tersebut.

“Mangsa kemudian mengambil sebilah parang dari dapur dan melibas ke arah pengadu, namun sempat mengelak.

Iklan

"Pengadu pula dikatakan telah mencapai wayar kabel berhampiran dan menjerut leher mangsa sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami tiga kesan jerutan pada leher dan luka di bahagian bibir.

Iklan

Katanya, polis turut merampas seutas wayar, sebilah parang serta sebatang besi konkrit yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Tambahnya, rumah tersebut didiami tujuh pekerja buruh binaan termasuk mangsa dan pengadu.

Permohonan reman akan dibuat ke atas kesemua mereka yang berusia 29 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.